Wednesday 29 July 2015

Nota: Panduan Melakukan Aktiviti Bersama Anak

Nota: Panduan Melakukan Aktiviti Bersama Anak
Tarikh: 30 Julai 2015

Ada beberapa perkara yang kita wajib pastikan bagi memastikan aktiviti yang dijalankan bersama anak di rumah adalah menarik dan bermanfaat untuk anak.

1. Jangkamasa yang pendek
 
Kebanyakan anak-anak mempunyai jangkasama untuk fokus yang pendek. Anak di bawah umur 7 tahun adalah terlalu  muda untuk fokus pada sesuatu kerja dalam jangkamasa yang terlalu lama. Jadi, pastikan aktiviti yang hendak anda lakukan bersamanya adalah aktiviti yang sesuai dengan umur dan kemampuannya. Jadikan diri anada dan aktiviti yang dirancang itu sesuatu yang fleksibel untuk anak-anak.

2. Bantu anak

Bantu anak ketika mereka melakukan aktiviti yang anda telah rancang. Kadangkala mereka memerlukan bantuan ketika menggunting, melekat, mewarna dan sebagainya. Memang anak-anak suka untuk bersikap berdikari tetapi anda perlu ada di sisi untuk sentiasa membantunya ketika perlu. 

Contohnya, cara penggunaan gunting yang betul memerlukan tunjuk ajar daripada kita. Tanpa pengawasan yang baik, mungkin mereka menggunakannya dengan cara yang salah.

3. Elakkan atau kurangkan masa menunggu
 
Menunggu dalam jangka waktu yang lama kadangkala memeritkan bagi sesetengah anak. Rancang aktiviti anda bersama anak dengan baik dan teratur.

4. Pastikan anak terlibat

Aktiviti yang baik adalah aktiviti yang melibatkan anak-anak. Bukan aktiviti yang hanya memerlukan anak-anak duduk dan lihat apa yang anda lakukan. 

5. Beri pilihan
 
Jadikan aktiviti ini aktiviti yang sentiasa memberi pilihan kepada mereka. Mereka sentiasa diberikan peluang untuk meneroka dan melakukan aktiviti mereka dengan cara yang mereka suka namun masih lagi mengikut petunjuk yang diberikan. Bagi seorang kanak-kanak, matahari bukan bulat, awan bukan putih, seekor kucing mungkin mempunyai telinga sebelah yang lebih besar.

6. Memberi arahan yang jelas kepada anak.

Ini adalah salah satu skil komunikasi antara kita dan anak. Ia juga sangat penting dalam perkembangan bahasa anak. Penggunaan bahasa serta arahan yang jelas dalam masa yang sama akan membantu anak dalam proses membacanya. Dia akan terdedah kepada perbendaharaan kata dan menambahnya setiap hari.

Selamat beraktiviti!
Selamat mendidik dengan kasih sayang 😉


Copy paste by:
Ashikin Hashim
#icanteachmychild